![]() |
![]() |
Pendidikan Islam |
![]() |
|
![]() |
![]() |
||||||
|
![]() |
|
![]() |
![]() |
![]() |
Bab 1 - Islam Sebagai Al-Din |
|
|
|
![]() |
![]() |
Islam yang dikenali sebagai Al-Din telah dibawa oleh Rasulullah Muhammad S.A.W untuk kebahagiaan manusia didunia dan diakhirat. Abu al-A'la al-Maududi melalui karangannya didalam kitab Al-Mustalahat al-Arba'ah menerangkan bahawa perkataan Al-Din itu membawa maksud yang menggambarkan suatu sistem kehidupan yang lengkap, tersusun dalam empat bahagian, iaitu: Pertama: Al-Din bererti kekuasaan tertinggi atau kuasa pemutus (Al-Hakimiyah). Kedua: Al-Din juga membawa erti ketaatan dan kepatuhan terhadap yang memiliki kekuasaan tertinggi tersebut. Sepertimana Firman Allah didalam surah Ghafir, ayat 64-65 yang bermaksud: "Allah-lah yang telah menjadikan bumi sebagai tempat menetap bagimu dan langit sebagai atap; dan telah membentukmu, maka Ia membaguskan rupamu serta memberi kepadamu rezki daripada yang baik-baik. Itulah Allah Tuhanmu, Maha Suci Allah Tuhan semesta alam. Dia-lah yang Maha Hidup, tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selainNya; maka sembahlah Dia dengan mengikhlaskan bagiNya Al-Din. Segala pujian bagi Allah Tuhan semesta alam." Firman Allah lagi didalam surah Al-Zumar, ayat 11-12: "Katakanlah, sesungguhnya aku telah diperintah untuk mengibadati Allah dengan mengikhlaskan bagiNya Al-Din; dan Aku telah diperintah supaya menjadi orang yang pertama berserah diri." Dan seterusnya lagi, Firman Allah didalam surah Al-Nahl, ayat 52: "BagiNya segala yang ada dilangit dan dibumi; dan bagiNya-lah Al-Din selama-lamanya. Apakah kepada selain Allah kamu bertaqwa?" Ketiga: Al-Din bererti syariat atau undang-undang yang ditetapkan oleh yang memiliki kekuasaan tertinggi tersebut. Firman Allah didalam surah Al-Nur, ayat 2 membawa maksud: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap orang daripada keduanya seratus kali; dan janganlah perasaan belas-kasihan kepada keduanya menghalangmu daripada (melaksanakan) Din Allah (yakni syariat atau undang-undang Allah)." Keempat: Al-Din bererti balasan atau ganjaran dari yang memiliki kekuasaan tertinggi terhadap mereka yang mentaati atau yang mengingkariNya, seperti yang dijelaskan dalam firman Allah SWT didalam surah Al-Dzariat, ayat 5-6 yang bermaksud: "Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu adalah benar, dan sesungguhnya Al-Din (yakni balasan atau ganjaran atau hisab) benar-benar akan terjadi." Didalam Al-Quran pengertian Al-Din diistilahkan sebagai suatu sistem kehidupan, dalam mana manusia mesti tunduk kepada yang memiliki kekuasaan tertinggi dan mentaati serta mematuhiNya, sehingga seluruh kehidupannya terikat dengan batasan-batasan, prinsip-prinsip dan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah; dan dalam pada mentaati itu ia mengharap memperoleh kemuliaan, ketinggian darjat dan balasan yang baik, dan takutkan kehinaan dan balasan yang buruk jika menderhaka kepadaNya. Pengertian istilah ini termaktub didalam Al-Quran surah Ali 'Imran ayat 19 dan 85, yang bermaksud: "Sesungguhnya Al-Din (yang diakui) disisi Allah hanyalah Islam." "Barangsiapa yang mengingini selain Islam sebagai Din-nya, maka sekali-kali tidak akan diterima (oleh Allah SWT) daripadanya, dan ia diakhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi."
Perkataan Islam yang berasal dari perkataan Aslama membawa erti seperti berikut: Pertama: Tunduk, taat atau yang semakna dengannya, seperti dalam firman Allah SWT didalam surah Al-Baqarah, ayat 131 yang maksudnya: "Ketika Tuhannya berfirman kepadanya(yakni kepada Nabi Ibrahim): Tunduk(patuh)lah (aslim)!, Ia menjawab: Aku tunduk(patuh) (aslamtu) kepada Tuhan semesta alam." Kedua: Menyerahkan (submission). Ini dapat dilihat didalam ayat Quran surah Al-Nisa, ayat 125 bermaksud: "Siapakah yang lebih baik Din-nya daripada orang yang menyerahkan wajahnya kepada Allah ….." Allah telah mensyariatkan suatu sistem kehidupan yang dinamakan Islam yang berasaskan ketundukkan, kepatuhan dan penyerahan diri kepada Allah SWT. Menurut Islam, agama adalah hidayah dari Allah Swt. Ini jelas disebut didalam Al-Quran surah Al-Baqarah, ayat 37-39 yang bermaksud: " Maka Adam menerima beberapa kalimat (untuk taubat) dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: Turunlah kamu semua dari Syurga. Nanti apabila datang kepadamu petunjukKu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjukKu itu, nescaya tidak ada kekhuatiran bagi mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Adapun orang-orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu akan menjadi penghuni Neraka, dimana mereka akan kekal selama-lamanya." Ayat-ayat diatas jelas memberi gambaran bahawa kesedaran beragama wujud sejak zaman Nabi Adam a.s. Agama yang dianuti oleh Adam adalah agama Tauhid yang dikurniakan Allah melalui hidayahNya. Dan agama ini terus berkembang dari zaman ke zaman atas dasar kaidah yang sama dan tetap, yakni untuk mengEsakan Tuhan dan mengabdikan diri padaNya sehinggalah kezaman Nabi Besar kita Muhammad SAW, dan seterusnya hingga ke hari kiamat. Adapun dari segi tatacara syariatNya memang terdapat perbezaan serta perubahan , sesuai dengan keadaan masyarakat manusia dari masa ke semasa. Jika kita mengikuti perkembangan sejarah tentang kehidupan manusia sejak Adam a.s, mereka telah melalui berbagai-bagai rentak atau agenda kehidupan. Akibatnya timbullah perbezaan didalam pandangan serta fahaman sehingga terjadi penyelewengan dari agama Tauhid yang dianuti Adam a.s. Perbezaan pendapat dan fahaman tersebut telah membawa mereka kepada perbezaan keyakinan dan kepercayaan sehingga timbul penyembahan-penyembahan kepada selain dari Allah seperti penyembahan berhala, matahari, bulan, bintang, haiwan, api, syaitan dan sebagainya. Adapun penyembahan selain dari Allah ini disebut "syirik" iaitu mempersekutukan Allah. Islam memandang syirik sebagai suatu penyelewengan yang amat berat kerana ia telah menyimpang dari agama Tauhid. Diantara sebab-sebab mengapa syirik berlaku adalah kerana pengaruh hawa nafsu, godaan Iblis atau syaitan, terputusnya dari hidayah Allah, kejahilan, suasana alam sekitar, keangkuhan dan lain-lain lagi. Apabila terjadi penyelewengan dan penyimpangan ini, maka Allah SWT mengutus Rasul-rasulNya untuk membimbing mereka yang sesat agar kembali kepada agama Tauhid, menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Adapun jumlah para Nabi dan Rasul sejak Adam a.s amat ramai sekali dan Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul yang terakhir yang diutus Allah. Ajaran-ajaran agama atau Din yang dibawa oleh para Rasul mempunyai persamaan dari segi asas-asas aqidah dan ibadat, prinsip-prinsip akhlaq dan kemuliaan. Perbezaan dari ajaran tersebut hanyalah dalam soal-soal furu' atau cabang-cabang syariat. Telah diterangkan didalam Al-Quran didalam tiga ayat berikut tentang kewujudan Rasul Allah serta ajaran yang mereka bawa. Ayat 36, surah Al-Nahl membawa maksud: "Sesungguhnya Kami telah mengutus kepada setiap ummat seorang Rasul yang menyeru agar kamu mengibadati Allah dan menjauhi taghut(syaitan atau sembahan selain Allah), maka diantara ummat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula diantaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu diatas permukaan bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (para Rasul)." Ayat 165, surah Al-Nisa menjelaskan: "(Kami telah mengutus) para Rasul sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pembawa peringatan (ancaman), supaya manusia tidak lagi mempunyai alasan terhadap Allah setelah diutusnya para Rasul. Sesungguhnya Allah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana." Ayat 13, surah Al-Syura mengingatkan: "Allah telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan olehNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada anda dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, iaitu: supaya kamu menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada (agama)Nya orang yang kembali (kepadaNya)."
Islam berdiri diatas tiga rukun iaitu Aqidah, Syariat dan Akhlaq. Ketika Rasulullah ditanya oleh Jibril tentang Islam beliau menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Islam adalah bahawa anda bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan bahawa Muhammad Utusan Allah, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadan dan beribadat haji ke Bait Allah jika mampu dalam perjalanan kesana." Disini jelas bahawa asas agama Islam itu adalah syahadat, yakni kesaksian dengan penuh yakin akan kebenaran bahawa tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad SAW adalah Rasul atau UtusanNya. Atas dasar kesaksian itu, maka kita beriman kepada semua yang disampaikan oleh Allah SWT melalui RasulNya Muhammad SAW, sama ada yang berkaitan dengan alam metafisik ataupun lain-lainnya, baik yang terkandung didalam rukun iman yang enam ataupun yang tiada terkandung didalamnya, tetapi terkandung didalam Al-Quran atau Al-Sunnah, seperti tentang alam barzakh, alam akhirat, syurga, neraka dan sebagainya. Dan seterusnya, atas dasar kesaksian itu tadi kita melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah dan menjauhi segala laranganNya dengan penuh perasaan tanggungjawab. Diantara perintah-perinttah Allah SWT ini ada yang termasuk didalam rukun Islam yang lima seperti syahadat, solat, zakat, puasa dan haji dan ada pula yang tidak termasuk didalam Arkanul Islam itu tadi, tetapi terkandung didalam Al-Quran segala peraturanNya yang meliputi semua bidang kehidupan manusia. Begitu juga halnya dengan akhlaq yang berteraskan perpaduan antara aqidah dan syariat, iaitu yang disebut Ihsan. Sepertimana sabda Rasulullah SAW perihal Ihsan: "Ihsan adalah bahawa anda mengibadati Allah seolah-olah anda melihatNya; kerana jika anda tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat anda." Inti daripada Ihsan ialah ketaatan atau kepatuhan hamba kepada Allah dan perasaan tidak terlepas daripada penglihatan atau pengawasanNya yang wujud didalam diri atau jiwanya dan mempengaruhi segala perbuatan dan tingkah-lakunya.
|
![]() |
||||
|